Tuesday, January 10, 2012

Ikon/Idola. Kita dan Mereka.


*sekadar gambar hiasan dari pakcik gugel

Assalamualaikum..

Bukan Salah Ikon. Salah Orang Yang Memilih Ikon.

tertarik dengan tulisan di FB Imam Muda Asyraf..meh sama sama kita baca..:)

Ikon/Idola. Kita dan Mereka.

Kita semua mengetahui bahawa beberapa waktu kebelakangan ini, kita digegarkan dengan berita satu ikon yang dahulunya berimej baik, kemudian berubah perwatakannya. Saya melihat kejian, cacian, makian. Tidak kurang juga kata-kata berupa sindiran dan perlian. Tidak terlepas juga pandangan mata saya dari melihat nada-nada kekecewaan beberapa orang yang mungkin dahulunya menjadikan ikon itu idola hidupnya.

Di sinilah saya ingin membicarakan beberapa perkara, juga memberikan beberapa pendapat saya berkenaan hal ikon, atau idola.


Dia diangkat menjadi ikon kerana apa?

Satu perkara apabila kita memilih, mengangkat seseorang itu menjadi ikon, kita perlu melihat kerana apakah dia diangkat sedemikian rupa?

Kalau kita perhatikan sistem kehidupan hari ini, jarang sebenarnya kita mengangkat ikon kita kerana dia membawa satu imej yang menyeluruh dan hampir lengkap. Tetapi kita angkat seseorang itu menjadi ikon hanya kerana salah satu kebolehannya.

Contoh pemain bola. Kita tidak pernah peduli dia solat atau menutup aurat. Tetapi kita puja pemain bola kerana kehebatannya bermain bola.

Contoh artis. Kita tidak pernah peduli pengetahuannya di dalam agama. Tetapi kita puja dan angkatnya sebagai ikon kerana suaranya yang lunak, wajahnya yang lawa, dan lagunya yang mantap.

Contoh penulis. Kita mungkin tidak pernah peduli sikapnya bagaimana. Tetapi kita puja dan puji dirinya kerana kehebatan penulisannya yang mungkin memukau dan menarik minat kita membaca.

Contoh pemidato, penceramah. Kita mungkin tidak pernah peduli bagaimana akhlak sebenarnya. Tetapi kita puja dan puji dirinya kerana cara dia bercakap seronok, kena dengan jiwa kita, dan sebagainya.

Dan begitulah lainnya. Perasan atau tidak, itulah dia sistem kita dalam mengangkat seseorang menjadi ikon. Aras ukur kita hanya pada kebolehannya, penonjolannya pada satu-satu sisi, tanpa mempedulikan sisi-sisi yang lain.

Di sinilah munculnya pelbagai permasalahan yang lain.


Bila sisi lain seorang ikon terdedah.

Saya ambil contoh satu perkara yang menggemparkan Malaysia beberapa kali. Artis memberikan komentar berkenaan aurat contohnya, Artis memberikan komentar berkenaan hukum sentuh bukan mahram contohnya, dan yang agak terkini, artis memberikan pandangan berkenaan hukum hudud.

Gempar. Apatah lagi apabila, pandangan-pandangannya jauh menyimpang daripada apa yang digariskan agama, disepakati ulama’. Ramai yang mencaci. Mencela. Mengeji tindakan para artis yang memberikan komentar itu. Ada juga yang kecewa, kerana ikon yang diminati mereka selama ini, yang ditonton dramanya selama ini, yang diminati lawaknya selama ini, memberikan komentar yang jelas bertentangan dengan kefahaman agama.

Tetapi saya tidak pernah terkejut. Pertamanya mereka itu bukan ikon saya. Keduanya, kerana saya memang tahu mereka itu popular bukan kerana pengetahuan agama atau terkenal sebagai yang mengambil agama sebagai cara hidup secara syaamil dan kaamil. Maka saya amat faham apabila mereka mengeluarkan pendapat sedemikian. Mereka menjadi ikon, kerana mereka pandai menyanyi, berlakon, buat lawak dan sebagainya. Apatah lagi jelas kita sendiri melihat, beberapa peraturan agama yang dilanggar terang-terangan dalam kehidupan artis-artis. Seperti tidak menutup aurat, bersentuhan dengan bukan mahram dan sebagainya. Justeru, logiknya, apa yang nak diharapkan daripada mereka ini, apabila mereka mengeluarkan pandangan terhadap agama?

Begitulah juga isunya apabila seorang ikon yang cemerlang dalam pelajaran, dikatakan berubah, terkena kejutan suasana dan sebagainya. Persoalannya, benarkah berubah? Atau dia memang begitu dari dahulu? Siapa yang sebenarnya benar-benar mengenalinya? Atau kita selama ini, mengangkatnya sebagai ikon kerana dia sering muncul di dada akhbar? Dan dia muncul di dada akhbar itu kerana apa? Kefahaman agamanya? Kehidupannya yang mengamalkan Islam secara syaamil dan kaamil?

Begitulah kita melihat juga ikon-ikon lain, yang mungkin terdedah ‘sisi’nya yang lain, menyimpang dari agama, berubah dari bertudung kepada tidak bertudung contohnya, berubah dari dahulunya macam insaf dah kemudian berjoget semula, dulu penyanyi nasyid sekarang sudah jadi macam pondan dan sebagainya. Ya, kita perlu melihat semula. Kehidupan mereka yang sebenarnya bagaimana. Mereka ini faham Islam bagaimana sebenarnya selama ini? Itu kita kena lihat semula. Jangan jadikan televisyen, radio, internet yang selama ini mempopularkan mereka dan cerita mereka sebagai dalil.

Di sini kita melihat semula.

Bila kita melihat semula ini, Maka apa yang hendak diterkejutkan sebenarnya?


Bukan Salah Ikon. Salah Orang Yang Memilih Ikon.

Siapa yang menaikkan mereka?

Sistem ini. Sistem yang kita tahu korup. Sistem yang kita tahu tujuan utamanya adalah kebendaan. Duit. Apa yang boleh jual, boleh bagi banyak duit, itu yang diutamakan. Ya, apa yang nak diharapkan daripada ikon-ikon yang diketengahkan sistem ini?

Kita sendiri dapat lihat sekarang, bagaimana ISLAM itu sendiri dijadikan jualan. Orang suka pada cerita Islam, berbondong-bondong novel bersalut Islami keluar, cerita-cerita berbentuk agak keagamaan keluar. Tetapi isinya? Isinya? Tiada. Pelakonnya di luar layar tidak mampu menjadi contoh. Penulis di luar novelnya tidak mampu menjadi pemandu kepada pembaca-pembacanya.

Tetapi salah merekakah? Ya. Mungkin ada sahamnya. Mereka yang masuk akademi, mereka yang pergi hantar proposal, mereka yang nak jadi seleb. Tetapi ada juga antara mereka yang tidak begitu. Mereka diangkat kerana ada natural talent. Mereka dipopularkan, bukan mempopularkan diri.

Akhirnya, sampai kepada titik yang sebenar. Kita. Ya. Kita yang memilih Ikon.

Maka kita memilih seseorang itu sebagai ikon atas sebab apa sebenarnya?

Di titik inilah kita perlu melihat semula.

Persoalan yang patut kita soal lagi adalah, ‘siapakah sebenarnya yang layak menjadi ikon buat diri kita?’. Ya, kita perlu melihat semula.


Kuasa seorang Ikon.

Ikon ada kuasa. Contohnya, ikon berambut ikal mayang, yang fanatik semuanya akan mahu tiru. Contohnya, ikon pakai tudung bidang, yang fanatik semuanya mahu tiru. Contohnya, ikon pakai cermin mata besar, yang fanatik semuanya tiru. Pakai kasut jenama A contohnya, rebut-rebut orang beli kasut jenama A, sebab mahu tiru.

Bila ikon beri pandangan, pandangannya jadi dalil. Ada orang buat pegangan.

Bila ikon beri hentaman, hentamannya menjadi dalil. Ada orang pakai untuk hentam orang yang sama dengan berkata: “Ikon sekian-sekian pun cakap bahawa si fulan bin si fulan ini tidak boleh pakai.”

Tetapi meihat semula, siapakah yang memberikan kuasa sebesar ini kepada ikon itu?

Kita.

Tidakkah kita yang perlu bijak memilih mereka dan mengangkat mereka?


Ikon Yang Sebenar.

Maka sepatutnya kita mengkaji semula ukuran kita dalam menjadikan seseorang itu ikon, idola, contoh buat diri kita. Sepatutnya kita mengangkat seseorang yang mampu membawa kita ke syurga. Yang hidupnya mengamalkan cara hidup Islam. Bukan semata-mata kerana dia pandai main bola, bukan semata-mata kerana suaranya lunak, bukan semata-mata kerana filemnya seronok, bukan semata-mata kerana penulisannya menusuk kalbu, bukan semata-mata kerana cara dia berbicara hebat.

Potensi atau Kebolehan bukanlah kayu ukur yang sebenar untuk menjadikan seseorang itu ikon.

Saya kekal dengan kayu ukur saya – Ikon Yang Sebenar adalah yang mampu memandu kita ke syurga Allah SWT. Bukan semata-mata dengan kebolehannya, tetapi dengan kehidupannya. Dia mengamalkannya, dia ada fikrah yang jelas, dia ada pegangan yang jelas. Ya. Itu ikon yang sebenar.

Kerana itu, susuk sebegini sukar dicari sebenarnya, maka ternyata ikon terbaik adalah Rasulullah SAW dan para sahabat-sahabiat baginda, juga mereka yang menuruti mereka, yang telah pergi meninggalkan kita. Mereka ini telah terbukti bahawa kehidupan mereka berjaya, mati dalam keadaan berjaya. Maka apakah wujud contoh yang lebih baik, ikon yang lebih baik?


Ikon Yang Masih Hidup.


Bukan tidak boleh mengambil mereka yang masih hidup sebagai ikon. Tetapi perlu kita sedari, bahawa kita tidak mengenali mereka sepenuhnya. Kita hanya melihat mereka dari jarak jauh. Mengikuti mereka dari sisi-sisi kebolehan dan potensi mereka semata-mata. Mereka juga manusia seperti kita. Ada salah, ada betul, ada bagus, ada buruk, ada turun, ada naiknya. Mereka belum mati. Belum terbukti kehidupan mereka berjaya secara sebenarnya.

Maka, jika kita mahu angkat seseorang yang masih hidup itu sebagai ikon kita, qudwah kita, idola kita, contoh kita, maka bersedialah juga untuk memapahnya apabila dia kesilapan.

Jangan ketika dia baik, memberikan pandangan bagus, memberikan hiburan kepada kita, memberikan ketenangan dan kelapangan kepada kita, kita puji melangit. Suka. Cinta.

Tetapi apabila dia tersasar, tersilap, ada kecacatan yang terzahir, kita hentam dan kritik, kita keji, kita cerca, kita hentak dia seakan-akan mahu tertanam terus ke bumi.

Ikon juga manusia. Dan ada pula ikon itu, memang tidak dibesarkan dalam kefahaman agama, memang tidak belajar pun agama, memang tidak hidup dengan kehidupan beragama secara benar. Ada pula ikon itu, tidak mahu jadi ikon pun, tiba-tiba diangkat menjadi ikon. Kita yang membesar-besarkan mereka. Kita yang mengangkat mereka.

Mengapa kita pula yang mengeji dan mencerca mereka?

Mereka tidak minta kita percayakan mereka. Kita yang mahu percayakan mereka walaupun kita tidaklah mengenali mereka. Kita yang teruja dengan mereka. Maka mengapa bila mereka silap, kita tidak bantu mereka?


Penutup: Kita tanya siapa ikon kita, dan kenapa?

Maka kita kembali bertanya kepada diri. Siapa ikon kita? Dan kenapa dia kita pilih menjadi ikon kita?

Kadangkala saya rasa rawan apabila orang memilih ikon yang jelas, terang-terangan menyimpang daripada agama. Hanya kerana kebolehannya berlakon, hanya kerana kebolehannya menyanyi, hanya kerana kebolehannya bercakap, hanya kerana jawatannya yang tinggi dalam negara, hanya kerana ramah mesranya, terus diangkat menjadi ikon.

Akhirnya, sisi-sisi buruk ikon menjadi ikutan. Stail rambut menjadi tiruan. Cara berpakaian menjadi fesyen dan sebagainya. Kalau baik, ikut syariat, tak mengapalah juga.

Jelas, kita, sebagai masyarakat inilah yang perlu bijak memilih ikon. Perlu tahu bagaimana hendak memilih ikon. Perlu ada pegangan, kayu ukur dalam memilih ikon. Kuasa seorang ikon, hanya valid sekiranya kita yang berikan sokongan. Walaupun sistem cuba angkat, kalau kita tidak berikan sokongan, tidak akan berjaya.

Saya bagi contoh mudah. Rancangan-rancangan realiti. Itu semua cara untuk mengetengahkan ikon acuan sistem hari ini. Tetapi kita hanya ingat kepada mereka yang kita berikan sokongan bukan? Peserta-peserta yang lain, ada apa mereka hari ini? Tiada apa-apa. Cakap pun orang tak dengar. Ya. Itu contoh KUASA KITA kepada pembinaan ikon.

Maka biarlah sistem hari ini hendak angkat siapa, kita ada kayu ukur kita.

Dan pada kita, ikon itu pun manusia.

Bila dia silap, kita berikan teguran berhemah, berakhlak. Kita papah. Kita bantu.

Kerana kita juga inginkan perkara yang sama, apabila kita jatuh.


~ seorang hamba,

Hilal Asyraf

http://www.facebook.com/pages/Hilal-AsyrafOfficial/245964752094643

4 comments:

  1. owh ai idola mmg x ambil retis dah...x koser la nk layan kang kuar statement budak darjah 1 if ada isu2 sensitive....idola yg kekal dan terbaek hanyalah DIA or rasul.

    ReplyDelete
  2. setuju... nasib baik la sy sejak dr zaman dahulu kala memang x pernah memuja mana2 ikon.. hehe..

    ReplyDelete
  3. akak pun tak minat sgt dgn ikon ni...kecuali yang boleh berikan kita manfaat ke arah kebaikan tak pe la.

    ReplyDelete
  4. Mdh-mudahan tak salah memilih ikon

    ReplyDelete